Alam Pertunangan  

Posted by Hasif

BATAS HUBUNGAN SEMASA BERTUNANG

Biar pun seorang lelaki dan seorang perempuan itu telah bertunang, hakikatnya mereka berdua tetap warga asing yang tidak diharuskan bergaul bebas atau -apa-apa hak yang diberikan hanya kepada pasangan lelaki dan perempuan yang telah berkahwin secara sah.

Saya bersyukur kerana jarak 8 jam perjalanan dengan bas itu bermanfaat untuk kami saling menjaga perhubungan. Sesekali menelefon untuk bertanya khabar dan berbincang tentang perancangan-perancangan… namun kami mencuba sedaya upaya untuk tidak berlebih-lebihan.

Ada panggilan telefon mungkin sekadar beberapa minit.

Ada panggilan telefon mungkin perlu hingga satu jam.

Tetapi bertanyalah kepada hati, jika perasaan memberitahu bahawa perbualan itu mendatangkan rasa resah dan bersalah, maka selesaikan perbincangan dengan cara baik agar tidak berlebih-lebihan dan mencetus dosa.

Selama pertunangan kami, saya dan dia sering bersama tetapi tidak berjumpa. Kami sering hadir ke program-program seminar, ceramah, perhimpunan musim sejuk dan sebagainya, tetapi tidak berjumpa. Apabila saya mengimamkan Qiamullail di Masjid Clonskeagh, saya tahu yang tunang saya turut bersama, dan itu sudah cukup lagi memadai.

RAHSIA PERTUNANGAN

Pertunangan juga tidaklah perlu dihebahkan.

Lucu juga saya apabila ditanya oleh Yurzi yang kehairanan melihat saya yang datang pertama kali ke Galway, tetapi mengenali seorang muslimah di situ.

Nabi SAW sendiri ada mengingatkan kepada kita:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil.

Kerahsiaan pertunangan itu juga menjadikan kita terkawal dari berkelakuan seperti sudah bersuami isteri kerana hakikatnya seorang lelaki dan perempuan yang bertunang, masih asing dan sedang berada di medan ujian mengawal diri dan bijak mengatur komunikasi dengan pasangan yang bakal menemani hidup… selama-lamanya sampai mati.

Terima kasih kepada bekas tunang saya yang bersama-sama saling berusaha menjaga diri selama tempoh kami diikat dengan janji. Kepada bekas tunang saya yang kini telah pun menjadi isteri… dan dengan tiga cahaya mata kurniaan Allah, semoga Allah mengekalkan rumahtangga kita dalam redha dan bahagia, hingga ke akhir usia, ameen.

This entry was posted on Monday, July 12, 2010 at 8:16 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment