Kisah mati dua kali  

Posted by Hasif

HARI itu, Abu Bakar Abdul Aziz seperti biasa mengikuti gurunya mengurus dan menunaikan solat jenazah. Tidak ada apa yang aneh tentang cuaca mahupun suasana. Abu Bakar, ketika itu seorang pelajar sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan, langsung tidak menjangka hari itu sesuatu yang luar biasa bakal disaksikan matanya.

HARI itu, Abu Bakar Abdul Aziz seperti biasa mengikuti gurunya mengurus dan menunaikan solat jenazah. Tidak ada apa yang aneh tentang cuaca mahupun suasana. Abu Bakar, ketika itu seorang pelajar sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan, langsung tidak menjangka hari itu sesuatu yang luar biasa bakal disaksikan matanya.

Mayat lelaki berusia 60-an itu selesai dimandi dan dikafankan tanpa sebarang masalah. Ia kemudian sedia untuk disembahyangkan selepas solat Zuhur. Guru Abu Bakar mengimami solat sementara Abu Bakar berada di saf pertama, betul-betul di belakang gurunya itu.

“Semasa mengangkat takbir yang kedua, tiba-tiba mayat itu bergerak. Ia seakan cuba melepaskan diri daripada balutan kain putih yang membungkusnya.

“Suasana jadi gempar. Guru saya menjenguk ke arah mayat itu dan sembahyang dihentikan. Guru saya arahkan saya supaya membuka balutan itu. Hanya tinggal saya, guru dan mayat lelaki itu di situ.

“Orang lain sudah lari buka langkah seribu,” cerita Abu Bakar, 57, mengenai kejadian mayat hidup semula yang disaksikannya pada awal tahun 1970-an itu. Abu Bakar kini berkhidmat di KAA Travel & Tours Sdn. Bhd. sebagai pembimbing haji dan umrah.

Bisu

“Saya tak berasa takut. Saya buka kain kafan dan saya lihat matanya terkebil-kebil seperti orang baru bangun tidur. Dia seperti orang yang kehairanan.

“Dia kemudian bangkit tanpa mengucapkan sepatah kata pun,” ujarnya ketika ditemui Jurnal di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya adakah dia pasti lelaki tersebut sebelum itu benar-benar telah mati, Abu Bakar berkata, lelaki itu disahkan meninggal dunia berdasarkan surat kematian yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Saya pun tidak pasti punca kematiannya. Tetapi selepas hidup kali kedua, lelaki itu menjadi seorang yang bisu sedangkan semasa hayatnya dulu dia seorang yang lantang berkata-kata,” jelasnya.

Abu Bakar menceritakan, lelaki itu kemudiannya meneruskan hidup selama beberapa tahun sebelum ajalnya tiba buat kali kedua.

“Saya dengar orang kampung bercerita, kehidupan lelaki itu pada hayat kali kedua berbeza dengan hayat pertama. Jika dulu dia seorang yang sangat jauh daripada masjid, selepas itu dia memang kaki masjid.

“Sungguhpun bisu, setiap kali tiba waktu solat, dia akan menyeru orang yang ditemui di jalanan dengan isyarat tubuh agar pergi ke masjid menunaikan sembahyang,” katanya.

Abu Bakar menyifatkan lelaki itu telah dikurniakan Allah nikmat apabila diberikan peluang kedua untuk hidup.

Lidahnya mungkin telah dikelukan Allah supaya dia tidak menceritakan tentang apa yang telah dilalui dalam tempoh kematiannya kerana itu semua menjadi rahsia Allah.

Abu Bakar berpendapat kejadian manusia hidup selepas mati tidak mustahil berlaku kerana terdapat kejadian sebegitu yang dilaporkan. Tambahan pula, ada kisah yang disebut dalam al-Quran berhubung mati hidup semula.

Ghaib

Antaranya ialah kisah satu mayat yang dipukul dengan anggota sapi betina untuk dibangkitkan kembali bagi memberitahu siapakah pembunuhnya seperti yang diceritakan dalam surah al-Baqarah.

“Kejadian mati hidup semula mungkin berlaku, tetapi kejadian mayat ghaib seperti yang didakwa oleh sekumpulan pengikut al-Arqam baru-baru ini itu tidak mungkin terjadi,” katanya sekali gus mengupas tentang dakwaan segelintir pengikut Al-Arqam bahawa pengasas pertubuhan itu, Asaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya yang telah meninggal dunia, cuma ghaib dan akan kembali dengan jasad yang hidup bagi memimpin umat Islam kelak.

Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Faudzi Naim Badaruddin berpendapat, setiap yang bernyawa itu akan mati dan seseorang itu hanya akan mati setelah tiba ajalnya.

Maka, seorang yang didakwa hidup semula mungkin sebenarnya belum mati dan masih ada hayatnya.

“Dalam al-Quran disebutkan, apabila ajal seseorang tiba, tidak akan terkurang atau terlebih walaupun sesaat. Jika dia masih hidup, mungkin boleh dikatakan nyawanya belum dicabut malaikat Izrail,” katanya kepada Jurnal.

Namun, Faudzi berkata, atas kekuasaan Allah, kejadian hidup semula selepas mati mungkin boleh berlaku tetapi ia nadir (jarang sekali).

This entry was posted on Monday, July 12, 2010 at 9:47 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment